Pemain import Kedah, Namkong Woong (jersi kuning) dapat merampas bola dari pemain Perak, M.Idris Ahmad (jersi hitam) pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman di Alor Setar, malam Rabu. |
KUALA LUMPUR: Kedah, Terengganu dan Selangor masing-masing menempah tiket ke suku akhir Piala Malaysia 2014 selepas menduduki dua tangga teratas kumpulan malam Rabu.
Misi hidup mati Kedah akhirnya membuahkan hasil setelah berjaya menewaskan Perak 2-0 dalam Kumpulan B seterusnya menafikan skuad 'The Bos Gaurus' itu bagi mengisi slot suku akhir dalam perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Gol pertama Kedah hadir pada minit ke-71 menerusi tandukan Billy Mehmet Osman manakala dua minit kemudian Badrol Bakhtiar memberi kedudukan selesa buat Kedah dengan jaringan kedua.
Kedah muncul juara Kumpulan B dengan 10 mata keseluruhan diikuti Terengganu dengan sembilan mata.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, keputusan seri 0-0 menentang Sarawak sudah memadai untuk pasukan tuan rumah meneruskan perjuangan pada saingan seterusnya.
Di Stadium Shah Alam, Selangor mencatat kemenangan tipis 1-0 menentang T-Team menerusi jaringan tunggal pemain import Paulo Rangel pada minit ke-25. Skuad Gergasi Merah itu muncul naib juara Kumpulan D dengan punggutan 10 mata keseluruhan.
Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu meraih tiket ke suku akhir sekaligus muncul juara Kumpulan D dengan 16 mata.
Pada saingan terakhir peringkat kumpulan, PDRM menewaskan Sime Darby 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Sime Darby terdahulu membuka jaringan pada minit ke-7 menerusi sepakan penalti oleh pemain import Mateo Roskam manakala tiga gol PDRM dijaringkan Ashfaq Ali pada minit ke-23, Chad Charles Sauza (81) dan Bobby Gonzales (89). - mStar
0 Komen untuk "Piala Malaysia 2014: Kedah, Terengganu & Selangor Mara Ke Suku Akhir"