Soalan:Bayi saya berumur enam bulan dan menyusu badan. Saya ingin mengetahui cara untuk menyusukan bayi dengan susu formula kerana sudah banyak jenama susu formula yang telah saya cuba tetapi bayi saya tidak mahu menyusuinya. Mohon doktor membantu saya.
Ros, Pulau Pinang.
Jawapan
Pada kebiasaan, saya menggalakkan penyusuan susu ibu lebih daripada susu formula. Ini adalah kerana susu ibu mempunyai kebaikan yang tidak terdapat dalam susu formula yang pada umumnya ialah susu lembu yang dijadikan susu tepung. Susu ibu mengandungi antibodi yang dapat disalurkan terus kepada bayi. Antibodi tersebut amat berguna untuk menguatkan pertahanan badan bayi daripada mengalami sebarang jangkitan terutamanya yang melibatkan penyakit seperti selesema dan penyakit alahan seperti asma, ekzema (penyakit kulit), cirit-birit dan sebagainya.
Di samping itu, susu ibu memberi kelebihan dari segi kasih sayang seorang ibu kepada anaknya dan sebaliknya secara tidak langsung.Ibu yang bekerja dinasihatkan memerah susunya terlebih dahulu di dalam bekas yang diletakkan di dalam peti sejuk untuk dibekukan. Apabila mahu digunakan semula letakkan bekas tersebut di dalam bekas yang mengandungi air suam.
Kaedah ini memerlukan teknik pemerahan susu yang betul agar mudah dilakukan di mana-mana tempat yang bersesuaian. Namun jika terdapat masalah yang memerlukan penyusuan susu ibu tersebut dihentikan dan menukarkan kepada susu formula, ini memerlukan masa kerana bayi tersebut telah biasa dengan cara penyusuan dengan susu ibunya dari segi panjang-pendek puting payu dara, penyedutan susu daripada puting payu dara, kebiasaan rasa susu ibu, dan persekitaran yang selamat semasa menghisap susu ibunya. Ini akan mengambil masa untuk bayi tersebut membiasakan dirinya antara puting botol dan puting payu dara yang berbeza dari segi tekstur dan panjang-pendeknya.
Perbezaan jenis susu formula yang diberikan hanya memainkan peranan yang sederhana sehinggalah bayi tersebut serasi dengan penghisapan susu botol. Sehingga tempoh itu, penyesuaian peralihan tersebut perlu diambil perhatian oleh si ibu agar bayi tersebut benar-benar sihat dan diberikan susu dan kasih sayang yang secukupnya. Saya harap anda dapat meneruskan penyusuan bayi anda dengan susu ibu.
0 Komen untuk "Kebaikan susu ibu (susu badan) kepada bayi"