LELAKI tidak gemar bercakap tentang masalah ini, begitu juga dengan pasangan mereka.
Namun, kurangnya rangsangan seks atau libido dalam kalangan lelaki bukanlah perkara luar biasa cuma jarang-jarang diperkatakan.
Kira-kira seorang daripada lima lelaki mengalami masalah kurang libido dan sanggup mencari alasan daripada melakukan hubungan seks dengan pasangan mereka.
Kenapa, jarang mendengar? Lelaki tidak mahu berbicara tentang kekurangan nafsu mereka kerana ego, merasakan mereka sepatutnya tidak mempunyai masalah sedemikian.
Bagi kalangan wanita pula terlalu takut untuk meluahkan apa yang berlaku kerana topik yang dirasakan terlalu sensitif untuk pasangan mereka dan tanggapan orang lain yang mereka kurang menarik untuk meningkat nafsu.
Lagipun ia kelihatan seperti bukan masalah yang besar. Hakikatnya masalah kurang atau tiada libido memberi tekanan kepada keluarga, kesan kepada psikologi dan emosi malah ia juga mungkin petanda anda mempunyai kanser!
Menurut Pakar Urologi, Pusat Perubatan Tropicana (TMC), Dr. Muhilan Parameswaran, masalah tahap libido yang rendah lebih susah dirawat berbanding masalah seks yang lain kerana disebabkan oleh pelbagai punca.
"Libido berkurangan boleh berpunca daripada proses penuaan, psikologi atau fizikal seseorang.
"Tidak semua lelaki yang mengalami kurang libido disebabkan oleh masalah yang sama membuatkan cara mengubatinya juga berbeza.
"Namun, ramai yang salah faham kurang libido dengan masalah mati pucuk membuatkan usaha mereka berubat sendiri menemui jalan buntu," ujarnya.
0 Komen untuk "Sukar terangsang dalam hubungan seks suatu penyakit"