BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

Kondom bukan pencegah kehamilan yang berkesan

Saya baharu berumah tangga dan kami merancang untuk tidak mempunyai anak bagi tempoh dua tahun akan datang. Bukan kerana tidak suka, tetapi kami ingin menikmati kehidupan sebagai suami isteri sepuas-puasnya. Apakah kaedah terbaik untuk mencegah kehamilan dengan tidak mengambil pil pencegah kehamilan dan memakai kondom?

Puan R, Kedah

Jawapan

Fakta menunjukkan amalan merancang keluarga kini menjadi perkara biasa bagi kalangan pasangan lelaki dan wanita yang berkahwin khususnya di bandar. Buat pengetahuan anda, tiada kaedah merancang keluarga yang boleh dikatakan ‘ideal’, dan tiada kaedah merancang yang 100 peratus berkesan. Namun, beberapa kaedah boleh dicadangkan kerana memberi kesan tinggi menghalang kehamilan, dengan syarat kaedah ini diamalkan dengan baik seperti kaedah mengambil pil hormon dan suntikan hormon. Sama juga dengan kaedah kondom. Jika tidak digunakan dengan baik, ia boleh terlucut. Ada juga kemungkinan bocor atau koyak, sekali gus mendedahkan pasangan wanita kepada kehamilan jika perkara ini berlaku.

Bagaimanapun, ada sesetengah kaedah yang tidak boleh diamalkan jika belum mendapat anak seperti meletakkan alat mencegah kehamilan di dalam rahim.

Sehubungan itu, jika kita fikir dan berasa tidak selamat atau sangsi dengan semua kaedah merancang keluarga yang disebut di atas, tiada kaedah lain untuk membantu selain cara semula jadi. Kaedah ini boleh dilakukan dengan merancang hubungan kelamin ketika telur sudah keluar. Ia dikenali sebagai kaedah semula jadi. Pun begitu, perlu diingatkan yang ia juga hanya berkesan jika kitaran haid wanita itu tetap dan tepat.

Sehubungan itu, kaedah ini tidak disyorkan kepada mereka, terutama melihat keberkesanan untuk mengelak kehamilan ialah 50 hingga 70 peratus walaupun diamalkan dengan baik. Ini disebabkan telur (ovum) berkemungkinan boleh keluar cepat atau lewat. Ada juga sperma (benih lelaki) yang boleh tahan lama dalam salur fallopio wanita dan ini boleh menyebabkan wanita itu hamil. Saya syorkan pil perancang yang kini ada pelbagai formula yang mungkin sesuai untuk wanita yang ingin merancang keluarga secara berkesan. Pil terkini kurang kesan sampingan dan selamat jika dibandingkan dengan pil dahulu. Bagi yang masih berasa was-was, saya syorkan anda kunjungi klinik merancang keluarga terdekat untuk maklumat dan keterangan lanjut.

0 Komen untuk "Kondom bukan pencegah kehamilan yang berkesan"