BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

5 produk ciptaan UniSZA sertai pameran reka cipta di Geneva

KUALA TERENGGANU: Lima produk ciptaan penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) akan menyertai Pameran Reka Cipta Antarabangsa di Geneva pada 2 hingga 6 April depan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Unisza, Profesor Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, kelima-lima produk itu telah memenangi pingat emas di Pameran Ciptaan, Teknologi dan Inovasi Antarabangsa di Kuala Lumpur pada Mei lepas.

"Kelima-lima produk ini mempunyai kekuatan dan keunikannya yang tersendiri untuk manfaat masyarakat dan industri merangkumi bidang pendidikan, agama, kesihatan dan persekitaran.

"Harapan kita memenangi mana-mana kategori dalam pameran itu dan berharap ia akan mencetus lebih banyak hasil kajian dan penyelidikan oleh warga Unisza," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Minggu Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi 2014 di sini.

Antara lima produk itu ialah permainan interaktif pendidikan untuk kanak-kanak pesakit sawan, alat pencegahan mengesan banjir, pembelajaran ibadah umrah bagi umat Islam dan sistem data untuk pemarkahan dalam peperiksaan universiti.

Mengulas mengenai minggu penyelidikan itu, Dr Mohd Ekhwan berkata, pihaknya bercadang menganjurkannya secara bersama dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang lain dalam skala lebih besar pada masa akan datang.

Menurutnya Unisza tidak akan mengehadkan hasil kajian penyelidikan warganya semata-mata untuk memenuhi keperluan industri, sebaliknya membuka ruang kepada mereka untuk terus berkarya tanpa had. - mStar Online
0 Komen untuk "5 produk ciptaan UniSZA sertai pameran reka cipta di Geneva"