BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

Cristiano Ronaldo terima dua anugerah La Liga Sepanyol

PERMATA Real Madrid dan juga Portugal, Cristiano Ronaldo memberi penghormatan kepada legenda kelab Alfredo Di Stefano pada malam Isnin selepas dia dinobatkan sebagai pemain terbaik dan penjaring gol terbanyak La Liga musim lalu.

"Sedih sekali kerana Don Alfredo Di Stefano tidak dapat berada bersama-sama kita pada malam ini untuk menganugerahkan piala ini kepada saya," kata Ronaldo dalam satu majlis gala yang berlangsung di Madrid.

Di Stefano meninggal dunia Julai lalu pada usia 88 tahun kerana serangan jantung.

Bekas penyerang yang berasal dari Argentina itu memainkan peranan utama pada era Madrid memenangi lima Piala Eropah berturut-turut dari 1956-60.

Dia kemudiannya dinobatkan sebagai pemain terbaik Eropah sebanyak dua kali iaitu pada 1957 dan 1959.

Pada tahun 2000, Di Stefano dinamakan presiden kehormat Real Madrid.

Presiden Real Madrid, Florentino Perez menyifatkan Ronaldo sebagai pengganti semulajadi kepada Di Stefano.

"Saya tidak berkesempatan untuk menyaksikan Di Stefano beraksi secara langsung tetapi sayaerbanyak telah menyaksikan hampir kesemua videonya, " ujar Ronaldo sambil menambah, "untuk dibandingkan dengannya adalah satu penghormatan yang istimewa."

Ronaldo menjaringkan 31 gol La Liga musim lalu yang menyaksikan Madrid berakhir di tempat ketiga di belakang Barcelona dan juara Atletico Madrid.

Musim ini sahaja, Ronaldo sudah pun menghasilkan 23 gol liga dari 17 perlawanan, sekali lagi meletakkannya sebagai calon penjaring terbanyak La Liga. Daripada jumlah tersebut, 18 gol dihasilkan menerusi perlawanan liga.

Dia juga diletakkan sebagai calon pilihan untuk anugerah pemain terbaik dunia anjuran Fifa. - mStar Online

0 Komen untuk "Cristiano Ronaldo terima dua anugerah La Liga Sepanyol"