BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

Kunyit penyembuh semulajadi pelbagai penyakit

Kunyit atau dikenali sebagai curcumin merupakan sejenis rempah yang digunakan dalam masakan. Menariknya, bahan masakan ini juga dikenali sebagai salah satu penyembuh semula jadi paling mujarab.

Kegunaan kunyit telah bermula selama 2,500 tahun dahulu. Rempah tersebut dengan perlahan telah memperlihatkan sifat perubatan sejak berabad lamanya.

Sejak kebelakangan ini, kunyit mulai mendapat tumpuan ramai kerana keupayaannya dalam pencegahan banyak penyakit. Penyelidikan menunjukkan curcuminoid (komponen aktif dalam kunyit ) boleh digunakan untuk mencegah pelbagai jenis penyakit seperti kanser kolorektum, Alzheimer, arthritis dan gangguan kulit.

Kajian menunjukkan curcuminoid mempunyai sifat anti oksida, anti radang dan menurunkan takat kolestrol. Ia merupakan sejenis perencat COX-2 semula jadi bagi melegakan kesakitan dan juga adalah agen anti kanser. Para saintis juga mencatatkan curcuminoid menyokong metabolisme gula darah yang sihat dan memberikan harapan untuk melawan diabetis.

Dalam 688 kajian, lebih daripada 400 yang telah dikemukakan mengesahkan sifat anti karsinogenik, anti-radang dan anti oksida yang menakjubkan pada kunyit. Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat mempunyai empat ujian klinikal untuk menguji tindakan curcuminoid terhadap kanser kolorektum, pankreas, mieloma berganda dan Alzheimer.

Menurut pengkaji herba dari Universiti Oxford, Prof. Gerard Bodeker berkata, kunyit merupakan salah satu daripada bahan penyembuh penyakit terbaik di dunia dan telah lama digunakan secara meluas terutamanya di Asia.

“Kunyit mempunyai pelbagai khasiat kepada tubuh badan manusia antaranya termasuklah asma, kekejangan, darah tinggi, sesak nafas, hidung berair, batuk, resdung, gangguan hati, tiada selera makan, sakit sendi, kencing manis dan luka.

“Selain itu, kunyit juga berfungsi sebagai bahan aktif utama yang mampu menguatkan sistem imunisasi atau pertahanan badan daripada serangan penyakit," katanya yang juga penulis buku bertajuk Health and Beauty from The Rainforest.

Tambah beliau, hasil kajian yang dilakukan oleh sebuah universiti terkemuka di Barat menunjukkan penduduk India mempunyai sistem pertahanan badan yang lebih baik berbanding penduduk di Amerika Syarikat.

Ini disebabkan pengambilan kunyit dalam masakan seharian masyarakat India.

Dalam kajian ke atas pesakit artritis di Eropah, pakar perubatan mendapati khasiat curcumin boleh dibandingkan dengan ubat tahan sakit moden seperti phenylbutazone.

Malah, didapati penghidap artritis merasakan kurang sakit pada waktu pagi, mampu berjalan dengan lebih lama dan bengkak berkurangan.

Tambah Prof. Gerard, kunyit membantu dalam peneutralan radikal bebas ini dengan mencegah kesan pemusnahan pada tahap lebih awal yang menjadi punca penyakit Alzheimer.

Alzheimer merupakan sejenis gangguan otak yang teruk mempengaruhi keupayaan seorang untuk melakukan aktiviti seharian melibatkan bahagian otak yang mengawal pemikiran, ingatan dan bahasa.

“Hasil ujian klinikal menunjukkan bahawa kunyit mempunyai kandungan bisdemethoxycurcumin, demethoxycurcumin dan curcumin.

“Cantuman ketiga-tiga komponen ini membentuk curcuminoids atau curcuminoid yang mampu menjadi agen semula jadi untuk memperlahankan perkembangan Alzheimer," katanya.

Pun begitu, masyarakat hari ini terlupa bahawa kunyit banyak digunakan dalam perubatan tradisional Melayu.

Ini termasuk menghilangkan gatal-gatal, kesihatan dalaman wanita, herba untuk wanita selepas bersalin.

Oleh itu, kunyit bukan hanya dilihat berfungsi sebagai herba tradisional atau bahan masakan, sebaliknya mempunyai potensi untuk dimajukan sebagai penawar pelbagai penyakit.

0 Komen untuk "Kunyit penyembuh semulajadi pelbagai penyakit"