Menurut sebuah akhbar tempatan, pemilik United dari Amerika Syarikat, kini sedang ‘tawar-menawar’ tetapi proses itu pada dasarnya sudah dipersetujui dan bakal menyaksikan pelabur dari Amerika itu akan membuat untung hampir dua kali ganda berbanding £790 juta (RM3.95 bilion) yang mereka bayar ketika membeli kelab itu pada 2005.
United sedang bersiap-sedia untuk berdepan pasukan sejiran Manchester City yang turut dimiliki pelabur kaya-raya dari Timur Tengah, Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan dan mungkin perlawanan sejiran itu menjadi perlawanan terakhir United di Old Trafford di bawah regim Glazer.
Glazer kurang digemari sejak enam tahun lalu, malah pernah dibantah ketika mengambil alih kelab itu kerana peminat setia bimbang pemilik dari Amerika itu akan meletakkan United di ambang risiko dalam jangka masa panjang.
Akhbar melaporkan Glazer membuka tawaran dengan harga £2 bilion tetapi menerima tawaran £1.6 bilion dan sumber dalaman memberitahu, rundingan pembelian oleh Qatari Holdings - rangkaian pelaburan milik keluarga diraja Qatar yang diketuai Emir Sheikh Hamad - hampir menjadi kenyataan tetapi United terus menafikannya. Pengarah Komunikasi United, Phil Townsend kelmarin, menegaskan tiada tawaran dibuat.
“Tiada sebarang usaha dibuat untuk membeli Manchester United dan usaha ini juga tidak dialu-alukan,” katanya kepada media.
Qatar Holdings mempunyai pelbagai hartanah di England termasuk Kedutaan Amerika di London dan kompleks membeli belah mewah Harrods, yang dibeli daripada pemilik Fulham, Mohamed Al Fayed tahun lalu. – Agensi
Sumber: Berita Harian
Nota Dahi: Harap selepas ni United dapat la beli pemain yang lagi mahal ye.
0 Komen untuk "Manchester United bakal dijual RM8 billion"