BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

Pergolakan di Mesir kian meruncing

KAHERAH 3 Feb. – Keadaan di Mesir semakin meruncing dengan lima orang dilaporkan terbunuh, apabila penyokong Presiden Mesir, Hosni Mubarak melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan antikerajaan di Dataran Tahrir awal hari ini.

Tunjuk perasaan aman di negara ini sejak beberapa hari lalu bertukar ganas, sejak semalam apabila kira-kira 3,000 penyokong Mubarak yang dipercayai terdiri daripada polis berpakaian biasa menggempur penunjuk perasaan anti-kerajaan di Dataran Tahrir dan di beberapa bandar lain di Mesir.

Jumlah penyokong Mubarak ada yang menyatakan hampir 20,000 orang menaiki kuda dan unta bertindak memukul penunjuk perasaan anti-kerajaan dengan kayu dan besi dan sebahagian lagi melempar bom api ke arah penunjuk perasaan dari atas bangunan di Dataran Tahrir menyebabkan dua terkorban dan ramai yang lain cedera.

Angka korban terbaru hari ini akibat pertempuran yang menggegarkan tengah Kaherah dalam tempoh 24 jam lalu kini meningkat kepada tujuh orang dan sekurang-kurangnya 305 orang terbunuh sejak protes tercetus 25 Januari lalu dengan hampir 4,000 lagi cedera. Kejadian dilaporkan berlaku awal pagi apabila penyokong Mubarak dipercayai melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan anti-kerajaan bagi menimbulkan ketakutan di kalangan penunjuk perasaan.

“Kesemua mereka terbunuh akibat tembakan termasuk seorang yang ditembak di kepala,” kata Dr. Mohammed Ismail di sebuah klinik sementara di Dataran Abdulmenem Riad, bersebelahan Dataran Tahrir.

Seorang lagi pakar perubatan yang merawat mereka yang cedera dalam pertempuran, Dr. Amr Bahaa sebelum itu melaporkan beliau menerima ramai penunjuk perasaan yang terkena tembakan.

“Kebanyakan mangsa tiba dalam tempoh tiga jam lalu, ramai dengan luka terkena tembakan,” katanya awal pagi ini, dengan menganggarkan jumlah yang cedera sejak semalam melebihi 1,000 orang.

Saksi berkata, ramai penunjuk perasaan yang cedera akibat tembakan dari Jambatan Oktober, di mana penyokong Presiden Hosni Mubarak berhimpun.

Menteri Kesihatan, Ahmed Hosni Farid berkata, tiga orang terbunuh dan 639 lagi cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan yang menyokong dan menentang Mubarak di tengah Kaherah.

Pertempuran itu meletus apabila penyokong Mubarak menggempur Dataran Tahrir petang semalam dipercayai dalam usaha untuk menamatkan protes yang menuntut peletakan jawatan Presiden itu.

Bunyi tembakan kedengaran dari semasa ke semasa mulai sekitar 4 pagi ini (10 pagi waktu Malaysia) dan berlarutan selama dua jam, manakala beberapa kereta kebal tentera yang ditempatkan di dataran tersebut kelihatan beralih dari kedudukan masing-masing tanpa meninggalkan kawasan itu.

“Pertempuran bermula pada 4 pagi. Anggota polis berpakaian awam melepaskan tembakan dari Jambatan Oktober,” kata seorang saksi di hospital Kasr El-Aini di mana banyak ambulans tiba. – Agensi

Sumber: Utusan Malaysia

Nota Dahi: Sampai bila rusuhan di Mesir nak berlarutan ye? Jom tengok gambar dan video rusuhan yang berlaku di wilayah bergolak itu.

0 Komen untuk "Pergolakan di Mesir kian meruncing"