BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

Suami terima 40 mesej lucah

KOTA BHARU: “Sepanjang 17 tahun perkahwinan, saya tidak pernah ‘derhaka’ pada suami apatah lagi menamparnya, namun gara-gara terlalu cemburu dengan kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur lucah diterimanya, menyebabkan saya hilang kewarasan.

“Isteri mana tidak marah atau cemburu jika suaminya diganggu ‘individu misteri’. Kalau sekali tidak mengapa, tetapi lebih 40 kali mesej lucah dihantar melalui telefon bimbit suami,” kata seorang peniaga sauna yang mahu dikenali sebagai Zaitun, 35.

Zaitun berkata, mesej berbaur lucah dihantar kepada suaminya yang berusia 41 tahun sejak 5 Februari lalu menyebabkan hatinya tidak tenteram hingga rumah tangga mereka bergolak.

“Perbuatannya itu mengaibkan kami sekeluarga dan seolah-olah saya tak tahu menjaga suami. Perbuatan menghantar mesej lucah dan mendakwa pernah mengadakan hubungan seks dengan suami memang melampau,” katanya.

Ibu kepada lima anak itu berkata, walaupun suaminya menafikan mengenali individu berkenaan, dia tidak percaya sehingga berlaku pergaduhan besar dengan suaminya.

“Saya perasan mesej itu ketika membuka telefon bimbit suami dan terkejut dengan kata-kata dihantar menyebabkan saya sendiri malu untuk membacanya. Kejadian itu disedari ketika dalam perjalanan untuk melawat anak di asrama di Tanah Merah,” katanya.

Katanya, kejadian itu bagaimanapun dinafikan suami kerana mendakwa tidak mengenali penghantar mesej misteri berkenaan, selain sanggup menjunjung al-Quran.

“Sebaik mendengar pengakuan suami, saya membuat aduan di Balai Polis Kok Lanas mengenai gangguan itu pada 6 Februari lalu termasuk perbuatan suspek menuduh suami pernah menidurinya.

Berikutan aduan berkenaan, Zaitun dengan bantuan polis mengatur strategi untuk memerangkap suspek berdekatan sebuah Politeknik dekat sini, namun tidak berjaya berikutan suspek enggan hadir.

Zaitun berkata, pada masa sama dia juga mengadukan hal itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), tetapi belum menerima sebarang jawapan kerana siasatan mengambil masa kira-kira 45 hari.

0 Komen untuk "Suami terima 40 mesej lucah"