BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

Bayi mangsa dera, Nur Sofea Insyirah masih kritikal


Klang: “Saya tidak mahu tahu perihal pengasuh anak yang ditahan setakat ini dan belum bersedia menjawab sebarang soalan kerana masih letih dan sedih dengan kejadian itu...setakat ini, saya hanya mahu memfokuskan kepada kesihatan anak saya,” kata bapa Nur Sofea Insyirah, berusia enam bulan yang disyaki didera pengasuhnya, kelmarin.

Setakat ini, bayi perempuan berkenaan masih berada dalam keadaan kritikal dan belum menunjukkan sebarang perubahan positif. Bapa mangsa, Mohd Shahril Ahamad, 28, ketika dihubungi semalam berkata, anaknya masih ‘kaku’ seperti semalam dan mereka menyerahkan segalanya kepada pasukan perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang selain berserah kepada Allah.

“Anak saya masih lagi dalam keadaan koma. Sofea tidak menunjukkan sebarang perubahan positif dan doktor masih memberi rawatan kepadanya di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU),” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof ketika dihubungi semalam berkata, wanita berusia 28 tahun yang juga pengasuh mangsa sudah dibebaskan jam 2 pagi semalam dengan jaminan polis. “Kita sudah mengambil keterangan suspek dan kami akan terus melakukan siasatan terperinci untuk mengetahui bagaimana kejadian itu berlaku,” katanya.

“Sehubungan itu, saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan seorang bayi perempuan berusia enam bulan berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami pendarahan serta retak tengah kepala selain beberapa kesan lebam di lutut dipercayai didera dalam satu kejadian di Jalan Telok Gadong Kecil, dekat sini semalam.

Sumber: Harian Metro
0 Komen untuk "Bayi mangsa dera, Nur Sofea Insyirah masih kritikal"