BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

Warga emas temu jodoh selepas 14 tahun hidup bersendirian

Gambar hiasan
Kuala Terengganu: “Saya tidak pernah menjangka berkahwin lagi selepas 14 tahun menjadi ibu tunggal, namun jodoh pertemuan di tangan Tuhan yang menyatukan saya dengan suami,” kata Rubiah Ali, 58, dari Taman Sri Terbauk, Bukit Tunggal, di sini.

Rubiah yang ditemui pada Majlis Sambutan Merdeka Raya dan Penyampaian Insentif Perkahwinan Ibu dan Bapa Tunggal Parlimen Kuala Nerus di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini, semalam, berkata, dia mengenali suaminya Saat Mat Yasin, 65, sejak tiga tahun lalu ketika bertugas bersama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga kali kedua, 3 Januari lalu.

“Saya kematian arwah suami 14 tahun lalu dan dikurniakan empat anak manakala suami kematian isteri pertama sejak tiga tahun lalu dan mempunyai enam anak.

“Biarpun usia perkahwinan muda, kami gembira dan serasi bersama.,” katanya yang menerima insentif perkahwinan semula bersama suaminya sebanyak RM4,000.

“Keputusan mendirikan rumah tangga kali kedua adalah tepat,” katanya yang menerima insentif perkahwinan semula bersama suaminya sebanyak RM4,000.

Menurutnya, dia menyarankan ibu tunggal yang bimbang dan trauma mendirikan rumah tangga kali kedua supaya memberanikan diri berkahwin semula.

“Tidak perlu takut untuk berkahwin semula kerana mungkin memberi kebahagiaan kepada diri dan anak,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Tenaga, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air Terengganu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman menyerahkan insentif perkahwinan ibu dan bapa tunggal kepada 10 pasangan selain menyampaikan pinjaman modal Program Jaya Diri serta Sijil Tamat Latihan Kelas Jahitan Komuniti di majlis berkenaan.

Turut hadir Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) Mohd Shafaruddin Mustaffa dan Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Parlimen Kuala Nerus Fatimah @ Rubiah Omar.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri bersama YPKT sedang mengkaji untuk menyumbang RM100 kepada setiap ibu yang melahirkan anak sebagai langkah menggalakkan golongan berkenaan melahirkan anak di negeri ini.

“Negeri ini kritikal dari segi kelahiran bayi, malah jumlah daftar sekolah pelajar tahun satu menunjukkan penurunan pada setiap tahun membuktikan penduduk di negeri ini kurang kelahiran bayi,” katanya.

Sumber: Harian Metro
0 Komen untuk "Warga emas temu jodoh selepas 14 tahun hidup bersendirian"