BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

500 Pusat Internet 1Malaysia bakal dibuka diluar bandar


Cyberjaya: Sebanyak 500 Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) disasarkan dibuka di kawasan luar bandar di seluruh negara sehingga akhir tahun ini.

Ketua Bahagian Pembangunan Luar Bandar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Uzer Tajudin berkata, ketika ini 359 PI1M sudah beroperasi sejak ia diwujudkan sejak 2007.

“Objektif PI1M membantu masyarakat luar bandar meningkatkan taraf sosial dan ekonomi di samping berpeluang menikmati faedah melayari Internet seperti yang dirasai komuniti bandar, sekali gus merapatkan jurang digital antara penduduk luar bandar dengan bandar.

“Dari sudut ekonomi, ia membolehkan penduduk kampung menceburi bidang perniagaan dengan memasarkan produk keluaran mereka di laman Internet melalui tunjuk ajar kakitangan di pusat berkenaan,” katanya ketika ditemu bual di ibu pejabat SKMM di sini.

Uzer berkata, sebagai contoh, seorang pengusaha rumpai laut di Kunak, Sabah, Kabilah Abd Hassan hanya memperoleh pendapatan RM500 sebulan hasil memasarkan rumpai laut, namun selepas dipasarkan menerusi Internet di PI1M, pendapatannya mencecah RM20,000 sebulan.

Katanya, PI1M mempunyai peralatan teknologi maklumat (IT) dengan penyambungan Internet yang menyediakan latihan dan penggunaan komputer kepada penduduk luar bandar.

Menurutnya, pihaknya juga sedang membina 95 lagi pusat seumpama itu di seluruh negara.

“Sekarang kami memberi tumpuan kepada pembangunan kandungan dan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang perlu ditambah baik dari semasa ke semasa dengan meningkatkan prasarana PI1M.

“SKMM juga berhasrat menubuhkan 100 PI1M dalam tempoh dua tahun di kawasan bandar bagi memenuhi keperluan golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata, bagi tujuan itu pihaknya memulakan fasa perintis pertama PI1M di kawasan bandar iaitu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Pantai, Kuala Lumpur yang sudah siap pada Mac lalu, yang turut mempunyai kemudahan papan kekunci Braille untuk orang kelainan upaya (OKU) penglihatan.

Pada awal penubuhan, pusat Internet itu ia hanya dikenali sebagai Pusat Jalurlebar Komuniti (PJK), namun diberi penjenamaan semula tahun lalu dengan panggilan PI1M.

Setakat ini, 700,000 penduduk luar bandar seluruh negara mendapat manfaat kemudahan akses menerusi penubuhan PI1M.

Sumber: Metro Online
0 Komen untuk "500 Pusat Internet 1Malaysia bakal dibuka diluar bandar"