BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

Kereta cuba elak kerbau rempuh tiang lampu


Rembau: “Saya cuba mengelak melanggar sekumpulan kerbau tiba-tiba kereta dipandu hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu di kiri jalan,” kata guru Sekolah Kebangsaan Jelai 3, Gemas, Mohd Norzikri Roslan, 31, yang terselamat dalam kemalangan di Kilometer 12, Jalan Kundur-Linggi, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa bersama adik perempuannya, Norzahidah, 29, dalam perjalanan pulang dari Port Dickson ke rumah mereka di Gemas.

Mohd Norzikri berkata, ketika kejadian dia memandu seperti biasa sebelum dikejutkan dengan kehadiran sekumpulan kerbau yang melintas secara tiba-tiba menyebabkan dia cuba mengelak merempuhnya.

“Dalam keadaan cemas saya cuba mengawal stereng namun tayar belakang pecah menyebabkan kereta hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang lampu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, dia tergamam dengan kejadian itu sebelum keluar menyelamatkan diri kerana bimbang jika kereta meletup memandangkan tiang elektrik terputus dua.

“Sejurus kejadian saya dan adik perempuan meluru keluar mengikut pintu tempat duduk masing-masing kerana bimbang arus elektrik mengalir dan membahayakan keselamatan kami,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mereka trauma kerana tidak pernah terbabit kemalangan sebelum ini selain mengalami luka kecil dan lebam di bahagian kaki.

“Ini kali pertama saya menggunakan jalan ini untuk pulang ke Gemas dan tidak menyangka perkara ini akan berlaku namun saya bersyukur kerana kami tidak mengalami kecederaan teruk,” katanya.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh tiang elektrik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.

Sumber: Harian Metro
0 Komen untuk "Kereta cuba elak kerbau rempuh tiang lampu"