Johor Bahru: Tangisan tanpa henti seorang bayi perempuan menyelamatkannya daripada ditimpa kejadian buruk selepas ditinggalkan di atas kerusi rotan di depan kediaman sepasang suami isteri warga Indonesia di Kampung Pemuda Jaya, Seelong, Senai di sini, 22 Jun lalu.
Pelindung Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulaijaya Jamalluddin Hassan berkata, bayi berkenaan ditemui pada jam 1.45 pagi oleh pasangan itu.
“Ketika ditemui, bayi perempuan berkenaan yang cukup sifat hanya dibalut dengan sehelai kain. Penghuni rumah itu hanya menyedari kehadiran bayi berusia sebulan itu selepas terdengar tangisannya,” katanya, semalam.
Jamaluddin berkata, bayi berkenaan kini berusia empat bulan dan dinamakan Izara Sofea. Menurutnya, siasatan mendapati tiada dokumen kelahiran ditinggalkan bersama bayi berkenaan.
“Bayi itu kemudiannya dimasukkan ke Hospital Kulai sehingga 28 Jun bagi pemeriksaan kesihatan sebelum ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Sinar Juita.
“Sehingga kini, tiada pihak tampil untuk menuntut Izara Sofea. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan warisnya diminta menghubungi Pegawai Kebajikan Masyarakat Kulaijaya Mohd Iskandar Abu Bakar di talian 07-662299,” katanya.
Sumber: Metro Online
0 Komen untuk "Bayi perempuan ditinggal atas kerusi rotan"