BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

28 wanita GRO Thailand ditahan ketika sedang berhibur


Kuala Lumpur: Polis menahan 28 wanita warga Thailand berusia 24 hingga 39 tahun kerana disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) sebuah pusat hiburan di Jalan Conlay, di sini, malam kelmarin.

Kegiatan tidak bermoral di pusat hiburan yang memulakan operasi sekitar jam 8 malam hingga awal pagi itu dikesan pihak Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang kemudian melakukan serbuan.

Pegawai Turus D7 IPK Kuala Lumpur Deputi Superintendan Bahrain Che Rose berkata, pihaknya menyerbu premis yang terletak di tingkat satu itu jam 10 malam dengan kekuatan tiga pegawai dan 20 anggota.

“Ketika serbuan dilakukan, kebanyakan GRO melayan pelanggan. Seramai 24 pelanggan berhibur dalam premis dilengkapi pemuzik dan penyanyi berpakaian seksi. “Hasil serbuan kami menahan 28 wanita warga Thailand yang disyaki bekerja sebagai GRO. Semakan mendapati semua memiliki pasport.

“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga premis berusia 30-an. Hasil pemeriksaan premis itu memiliki lesen pusat hiburan,” katanya.

Bahrain berkata, semua GRO dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja di premis itu. Katanya, siasatan lanjut dilakukan bagi mengetahui GRO terbabit dihantar ejen tertentu atau bekerja dengan premis berkenaan serta jumlah tip yang diterima mereka.

Sumber: Metro Online
0 Komen untuk "28 wanita GRO Thailand ditahan ketika sedang berhibur"