BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

Video lawak Johan & Zizan (Jozan) RL5

BAGAI raja di pentas, gandingan dua bakat komedi ini licik mengatur bicara dan jenaka sehingga memukau peminat komedi. Tanya saja pada sesiapa pun, pasti ramai yang tidak mampu menidakkan penangan gandingan Johan dan Zizan.

Jika dihitung hayat pembabitan mereka di pentas hiburan, perjuangan dua jejaka yang sinonim dengan jolokan Jozan, hasil gabungan nama mereka itu sebenarnya masih terlalu ‘hijau’.

Mula membina nama selepas menyertai program Raja Lawak Astro musim pertama (RL1) pada 2007, Johan dan Zizan terus mengorak langkah sehingga berjaya memahatkan nama sebagai pelawak dan pengacara pelapis paling efektif hari ini.

“Sebenarnya, keserasian itu sudah terjalin sejak kami dalam RL1 lagi. Walaupun ketika itu kami adalah pesaing, Johan sering berkongsi idea dan pandangan tentang persembahan mingguan kami.

“Selepas tamat RL1, saya dan Johan diberi peluang untuk menerajui program Lawak King. Dari situ, pihak penerbitan melihat keserasian kami dan terus ditawarkan sebagai pasangan pengacara RL musim kedua sehinggalah hari ini,” imbas Zizan.

Melihatkan aksi lucu mereka yang lancar dan spontan di pentas, pasti terdetik di hati kita tentang rahsia di sebalik keserasian itu. Gandingan Johan dan Zizan bukan sahaja serasi berpadu, malah lebih istimewa lagi, persefahaman itu diperakui berkesan pada mata umum.

Mengulas tentang perkara itu, pemilik nama sebenar Mohd Razizan Abd Razak, 26, (Zizan) menyifatkan keserasian mereka berlaku secara semula jadi atas dasar persefahaman dan keikhlasan.

“Asas kepada keserasian kami adalah keikhlasan dan persefahaman. Selain sering berkongsi idea tentang sesebuah persembahan yang dijayakan, kami juga saling tegur-menegur dan ingat-mengingati antara satu sama lain.

“Semuanya berlaku secara spontan dan semula jadi sebenarnya. Selalunya, jika Johan memberikan sesuatu idea lawak, saya akan faham sendiri petanda yang diberikannya dan sambut serta kembangkan jenaka itu,” katanya.

Jelasnya lagi, selepas empat tahun bekerjasama, dia dan Johan sentiasa bantu-membantu, tetapi jauh sekali untuk cuba membayangi satu sama lain ketika di pentas.

Gambar: Penampilan Johan dan Zizan selalu menggamitkan suasana

“Tiada istilah siapa lebih atau siapa kurang dalam setiap persembahan kami. Sebaliknya, kami sentiasa bantu-membantu bagi mengimbangi kekuatan dan kekurangan masing-masing.

“Sejujurnya, walaupun kami sentiasa merancang sesebuah persembahan itu, ironinya apabila berada di pentas, kebanyakan jenaka yang keluar adalah bersifat spontan dan tidak mengikut perancangan asal.

“Mujurlah kebanyakannya menjadi dan mendapat respons yang baik daripada penonton,” katanya yang kerap berbincang dengan Johan tentang perancangan masa depan karier masing-masing.

Bagi Johan atau nama sebenarnya Mohd Yazid Lim Mohd Aziz, 26, keserasian mereka bertitik-tolak daripada toleransi dan profesionalisme. Akui suami kepada pelakon Ozlyn Wati ini, walaupun mereka hanya rapat ketika bekerja, persefahaman itu tersemai secara semulajadi bertitik-tolak daripada sikap tolak-ansur dan saling memahami.

“Realitinya, saya dan Zizan tidak begitu rapat apabila berada di luar. Namun, apabila bekerja memang kami akrab dan serasi. Keserasian ini bagaimanapun terbina atas sikap toleransi dan persefahaman yang kami amalkan sejak mula bekerjasama. Apabila kami mengadakan sesebuah persembahan, kami memang amalkan teknik ‘beri dan terima’, dan setakat ini Zizan faham dengan cara saya dan begitulah sebaliknya,” katanya.

Bercerita tentang lawak jenaka mereka, Jozan mengakui mereka sentiasa peka pada sensitiviti bahan jenaka yang dipersembahkan kepada umum. Bagi mengelakkan jenaka yang disampaikan itu menyinggung mana-mana pihak, mereka sentiasa berpesan dan mengingatkan antara satu sama lain.

“Kami memang sentiasa peka tentang perkataan-perkataan atau isu-isu sensitif ketika berlawak. Perkara-perkara berkaitan agama, bangsa, seks dan berbaur lucah memang akan kami elakkan,” kata Johan.

“Sebab itu kami perlu saling ingat-mengingati dan berfikir sebelum berlawak. Kami bukan membuat lawak kosong tanpa berfikir. Sebolehnya, setiap jenaka itu mempunyai mesej tersirat untuk kebaikan semua, cuma ia disampaikan dalam bentuk yang santai,” ulas Zizan pula.

Mengekalkan momentum lawak dalam setiap persembahan ternyata bukan tugas mudah. Setiap pelawak di atas dunia ini pun sering mengalami pasang surut dan kekeringan idea.

Kata Johan, mereka sering bereksperimen dalam setiap persembahan yang dilakukan. Kebiasaannya, mereka akan menonton semula rakaman persembahan yang dijayakan bagi mengenal pasti lawak yang mencuit hati penonton.

“Selalunya saya dan Zizan akan rancang bahan jenaka sebelum melakukan persembahan tetapi kami tidak pasti sama ada ia menjadi atau tidak. Untuk melihat keberkesanan lawak yang disampaikan, saya akan menonton semula rakaman persembahan itu dan mencatat bahagian dan perkataan jenaka mana yang boleh buat penonton gelak. Seandainya, kami mengalami kekeringan idea sebelum sesebuah persembahan, biasanya kami akan lakukan jenaka secara spontan sahaja,” jelasnya.

Mengeratkan lagi ikatan itu, Johan dan Zizan turut disatukan dalam program bual bicara Jozan Show yang bersiaran di Astro Prima. Bagaimanapun, kesibukan jadual seni masing-masing menyebabkan rakaman musim baru program itu sering tertangguh sehingga hari ini.

Gandingan mereka yang kini boleh ditonton sebagai pengacara RL5 akan kembali bersatu dengan nama Jozan dalam persaingan program Maharaja Lawak di Astro Warna tidak lama lagi.

Melengkapi profil gandingan itu, Johan dan Zizan dijangka turun ke lokasi penggambaran filem komedi aksi arahan Syamsul Yusof, April depan. Dalam filem yang masih belum diketahui judul rasminya itu, mereka akan bergandingan buat julung kalinya sebagai teraju utama.

“Saya dan Johan akan bergandingan sebagai pelakon utama dalam filem ala penyiasatan itu. Belum ada perbincangan rasmi dan kami pun belum melihat skripnya lagi tetapi yang pasti ia sebuah filem bergenre komedi aksi,” kata Zizan.

Manisnya, selepas empat tahun membina nama bersama, segala usaha dan komitmen mereka kian diiktiraf ramai. Jika pada November lalu, Zizan memenangi Anugerah Personaliti TV Kegemaran di Shout! Awards 2010, mereka terus melakar populariti apabila masing-masing tersenarai sebagai finalis Artis Lelaki Komedi Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian yang bakal berlangsung pada April depan.

Sumber: MStar Online

Nota Dahi: Aku memang suka gandingan Johan dan Zizan sebagai pengacara Raja Lawak. Memang smepoi dan spontan. Ok berikut adalah video sedutan daripada rancangan astro Raja Lawak musim ke-5 yang menampilkan Johan dan Zizan ataupun dikenali sebagai JOZAN. Credits to youtube. Jom sama-sama layan video ni.










0 Komen untuk "Video lawak Johan & Zizan (Jozan) RL5"