BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

Dynas Mokhtar buka butik penyusuan susu ibu

JIKA selebriti terkenal lain bimbang bentuk badan mereka berubah selepas melahirkan anak, pelakon dan pengacara jelita, Dynas Mokhtar pula bertuah kerana tubuhnya kini kembali langsing seperti dulu. Semuanya kerana dia menyusukan anaknya, Khyra Khalyssa, 10 bulan, dengan susu badan sepenuhnya.

“Saya memang merancang untuk memberi susu badan sepenuhnya kepada Khyra kerana susu ibu adalah makanan terbaik buatnya. Setakat ini, saya sudah berjaya menyusukan Khyra selama 10 bulan. Kalau kaum ibu mampu menyusukan anak mereka sehingga usia setahun pun sudah bagus untuk perkembangan kanak-kanak.

“Saya bukannya pakar dalam hal ini, tetapi apa yang saya tahu bayi yang menyusu badan antibodinya juga kuat dan tidak mudah dijangkiti penyakit kronik termasuk berat badan berlebihan. Jika bayi itu demam pun kerana tumbuh gigi saja yang juga perkara biasa dialami bayi dalam tempoh pembesaran awal mereka,” katanya.


Pemilik nama sebenar Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 28, ternyata cukup prihatin dengan penyusuan susu ibu di kalangan ibu muda di negara ini. Justeru, tidak hairanlah Dynas terpanggil mengusahakan butik berkaitan penyusuan susu ibu iaitu Dynas Nursing Attire (DNA) yang bakal beroperasi di The Curve, Damansara, Mac ini.

“Butik DNA menjual baju khas untuk kaum ibu menyusu badan, peralatan berkaitan menyusu badan seperti pam kecil dan beg ais. Baju menyusu ini juga boleh dipakai ke pejabat dan wanita tidak akan berasa malu untuk menyusukan anak mereka ketika bekerja. Mungkin ada kaum wanita malu untuk menyimpan susu badan mereka dalam peti sejuk di pejabat sebab itu kami jual beg khas untuk kemudahan menyimpan susu badan di pejabat. Terus terang, saya tidak faham jika ada segelintir wanita yang memberi alasan berdepan dengan masalah untuk menyusu badan kerana sudah ada pelbagai peralatan untuk kemudahan ibu menyusu bayi mereka,” katanya.

Kata Dynas yang juga duta produk pelangsingan badan Kunzense, dia juga merancang untuk menyusukan Khyra sehingga berusia dua tahun.

Gambar Dynas semasa mengandung

“Saya juga tidak terfikir untuk menyusukan Khyra dengan susu formula kerana khasiat susu ibu yang tidak ternilai. Tiada alasan buat kaum ibu tidak menyusukan anak mereka dengan susu badan jika tiada masalah kesihatan atau dia memang kurang susu,” katanya.

Tambah Dynas lagi, dia juga mendapat sokongan padu suaminya, Mohd Hafizy Hafiz untuk menyusukan Khyra dengan susu badan sepenuhnya. Suami menyokong apa yang terbaik untuk proses pembesaran Khyra. Saya juga dapat menurunkan berat badan dengan cepat, sejak menyusukan Khyra dengan susu badan sepenuhnya,” katanya.

Mengenai perkembangan bisnes butiknya, kata Dynas, fokusnya kini hanya pada butik DNA semata-mata.

“Sebenarnya, saya sudah membubarkan butik dengan Awal Ashaari iaitu D&A: Celebrity di Hartamas dan D&A Fashion Cafe yang diusahakan bersama rakan kongsi Adrina Osman sebelum ini. Begitu juga rakan kongsi dengan pusat beli-belah, Empire Shopping Gallery yang sudah dibubarkan,” katanya.
Majlis cukur jambul dan aqiqah puteri sulung milik Dynas dan suaminya, Mohd. Hafizi (Fizy), Khyra Khalyssa kelihatan comel dalam dress kecil labuh berwarna putih

Dynas timba pengalaman bekerja dengan Wan Hasliza

SELEPAS bergelar ibu, rezeki Dynas semakin murah dalam bidang lakonan. Telefilem terbaru lakonannya, Dan Sebenarnya (Dalam Mimpi Ada Realiti) terbitan KL Motion Picture Company. Kata Dynas, dia membawa watak pembantu bernama Hana yang juga kawan baik kepada watak utamanya, Maira (lakonan Sazzy Falak) dalam telefilem arahan Wan Hasliza itu.

“Saya terima tawaran berlakon dalam cerita ini kerana ingin bekerja dengan Wan Hasliza yang juga pengarah dan penulis skrip cerita itu sekali gus. Saya juga tidak pernah bekerja dengan Sazzy dan Nazril dalam drama sebelum ini dan ia pengalaman yang cukup mengagumkan dan lakonan mereka juga semula jadi.

“Cerita ini mengisahkan percintaan dalam mimpi Maira dan Doktor Harris (lakonan Nazril Idrus). Hana adalah anak orang kaya dan gadis yang ceria. Dia adalah tunang doktor Harris dan mereka putus apabila doktor itu bercinta dengan Maira yang ditemui dalam mimpinya itu,” katanya.

Pengalaman bekerja dengan Wan Hasliza pula, kata Dynas, dia pengarah yang cukup teliti dan mendalam serta tahu apa yang di mahukannya dalam cerita itu.

“Cerita itu akan menjadi 80 atau 90 peratus seperti yang dikehendakinya. Penggambaran cerita ini sudah selesai tahun lalu dan saya berharap peminat akan menonton cerita itu kerana ia adalah filem yang bagus dan jalan ceritanya juga menarik. Telefilem ini akan disiarkan pada 13 Mac ini, jam 10 malam di Saluran Astro Citra (saluran 131),” katanya.

Selain itu, Dynas juga baru selesai penggambaran drama Pengorbanan Terakhir juga arahan Wan Hasliza bergandingan dengan Hairie Othman untuk TV9.

“Ini antara skrip yang paling bagus pernah ditawarkan pada saya. Saya bawa watak utama Erin yang mengalami tekanan kerana sering keguguran dan apabila mengandung dia disahkan menghidap kanser ketika usia kandungannya mencecah lima bulan. Dia juga enggan menjalani kimoterapi kerana ingin melahirkan anaknya itu,” katanya.

Selain itu, Dynas juga berlakon dalam drama Cinta Antara Kita untuk Slot Akasia di TV3. Dia hanya mahu bawa watak pembantu dalam cerita diterajui Puteri Sarah dan Siti Elizad. Tidak ketinggalan, dia juga berlakon dalam Awan Dania musim baru dan menjadi hos Si Kecilku... Chakk!! yang disiarkan di TV3 sejak 5 Oktober lalu.

Dalam perkembangan lain, peminat Dynas juga boleh berhubung dengannya menerusi blog khusus DynasFanClub yang akan mengemaskini perkembangan karier seninya dan kelab itu turut merapatkan hubungannya dengan seluruh ahli termasuk dari Sabah dan Sarawak. Pada masa sama, dia merancang buat lebih banyak program amal bersama ahli kelabnya pada tahun ini.


Biodata Dynas Mokhtar

NAMA PENUH: Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar
ASAL: Petaling Jaya, Selangor
TARIKH LAHIR: 8 Mac 1983
PENDIDIKAN: Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor
KERJAYA: Model, pengacara dan pelakon
STATUS: Berkahwin
NAMA SUAMI: Mohd Hafizy Hafiz
NAMA ANAK: Khyra Khalyssa, 10 bulan
DRAMA: Di Bawah Ketiak Isteri
FILEM: Apa Kata Hati, Dunia Baru The Movie, Impak Maksima, Kayangan, Haru Biru, Main-Main Cinta, I Know What U Did Last Raya dan Cinta Kolesterol
PROGRAM: Beat TV (2002-2004)
PENCAPAIAN: Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-21; Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 dan 2008

Sumber: Harian Metro

0 Komen untuk "Dynas Mokhtar buka butik penyusuan susu ibu"