BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

EPL 2013: Pemain baru Spurs, Soldado muncul wira



LONDON - Roberto Soldado sekali lagi muncul wira Tottenham Hotspur pada permulaan Liga Perdana Inggeris musim ini dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-58 untuk menewaskan Swansea 1-0, meletakkan mereka enam mata maksimum untuk dua perlawanan.

Penyerang antarabangsa Sepanyol itu yang tiba dari Valencia dengan yuran perpindahan RM132.5 juta telah meledak empat jaringan dalam tiga perlawanan turut membantu kemenangan Spurs ketika menewaskan Crystal Palace 1-0.

Gol tunggal dalam perlawanan itu diperoleh melalui sepakan penalti dengan menewaskan Michel Vorm pada minit ke-58 selepas Andros Townsend dijatuhkan oleh Jonjo Shelvey.

Kemenangan Spurs itu ternyata sedikit sebanyak mengurangkan rasa sedih para penyokongnya yang bakal kehilangan pemain bintang mereka, Gareth Bale yang akan menyertai Real Madrid tidak lama lagi di samping membuktikan mereka mampu 'hidup' tanpa khidmat pemain antarabangsa Wales berkenaan.

Kejayaan meraih tiga mata itu memberikan Spurs permulaan paling baik semenjak empat musim lalu manakala Swansea terus dirundung malang kerana hanya meraih dua kemenangan dalam 13 aksi terakhir semenjak memenangi Piala Liga pada Februari lalu.

Dalam perlawanan tersebut, Tottenham ternyata lebih menyerlah berbanding lawannya dengan mengawal permainan malahan aksi beberapa pembelian terbaru mereka tidak menghampakan seperti Etienne Capoue, Nacer Chadli dan Paulinho.

Penjaga gol Swansea, Vorm beraksi cemerlang dengan banyak menyelamatkan percubaan jarak jauh daripada Paulinho sementara Hugo Lloris tidak kurang hebatnya apabila menafikan pelawat mendapatkan gol melalui Wayne Routledge dan Michu.

Penyokong Spurs pada mulanya cukup kecewa dengan keputusan pengadil tidak mahu memberikan sepakan penalti walaupun Townsend secara jelas dijatuhkan oleh Shelvey, namun hanya diberikan sepakan percuma.

Namun, kehampaan mereka terubat apabila pengadil, Neil Swarbick akhirnya tidak melakukan kesilapan serupa apabila dia memberikan sepakan penalti selepas Townsend yang sekali lagi dihalang oleh Shelvey.

Soldado ternyata tidak ada masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti berkenaan dan Spurs berjaya mempertahankan keputusan berkenaan sehingga tamat permainan dengan Lloris sekali lagi menjadi watak penting menafikan hajat Swansea mencuri sekurang-kurangnya satu mata dengan menepis bola rembatan Chico Flores. - AGENSI

Sumber: Utusan
0 Komen untuk "EPL 2013: Pemain baru Spurs, Soldado muncul wira"