ISTANBUL - Arsene Wenger mengakui Arsenal perlu bangkit menunjukkan semangat juang yang tinggi apabila berdepan Fenerbahce pada aksi pertama timbal balik Kelayakan Liga Juara-Juara di Turki, hari ini.
Skuad bimbingannya mengalami kekalahan memalukan 1-3 kepada Aston Villa pada aksi sulung Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates, Sabtu lalu.
Persembahan Arsenal nyata terlalu longgar sehingga mengundang kemarahan penyokong setia Gunners, yang membuatkan Wenger menjadi objek kemarahan kerana gagal menunaikan janjinya mendapatkan pemain-pemain baru berprofil tinggi.
Kumpulan yang menamakan diri mereka Arsenal Supporters Trust (AST) menggesa kelab itu lebih memikirkan untuk membentuk kembali pasukan daripada berbincang mengenai kontrak terbaru Wenger.
Selepas lapan tahun tanpa sebarang trofi, Wenger dan para pemainnya kini jelas berada dalam tekanan dan jika gagal melayakkan diri ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, ia mungkin menjadi bencana terbesar buat Arsenal bagi permulaan musim ini.
Tambah membebankan buat Wenger, dia dihantui banyak masalah kecederaan ketika berdepan Villa tempoh hari dengan hanya tinggal lapan pemain senior sahaja yang boleh turun pada perlawanan berkenaan.
Pemain tengah England, Alex Oxlade-Chamberlain mendapat kecederaan serius bahagian lutut, yang mungkin menyebabkan dia terpaksa direhatkan selama beberapa bulan sementara Kieran Gibbs, Bacary Sagna, Tomas Rosicky dan Aaron Ramsey menyertai Mikel Arteta, Nacho Monreal dan Thomas Vermaelen dalam senarai kecederaan.
Tugas berat menanti Wenger di Stadium Sukru Saracoglu dan dia mengakui barisan pertahanannya nampak terlalu rapuh bagi menghadapi Fenerbahce.
"Kami terlepas banyak peluang, tidak bernasib baik dan berdepan banyak kecederaan, jika dicampurkan semua sekali, kami memang berada dalam keadaan tidak begitu menyakinkan.
"Saya percaya musim kami akan bergantung tentang bagaimana kami bangkit terhadap kekalahan yang lalu selepas permulaan yang cukup mengecewakan, " katanya.
Hanya seorang sahaja pemain yang dibawa masuk sejak musim lalu selepas gagal mendapatkan Luis Suarez, Gonzalo Higuain dan Luis Gustavo, Wenger memerlukan seorang atau dua pemain baru bagi membangkitkan semula semangat para pemainnya di Emirates. - AFP
Sumber: Utusan
0 Komen untuk "Kelayakan Liga Juara 2013 - Arsenal hadapi tugas getir"