BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

Pemain piano Malaysia bertaraf antarabangsa, Claudia Yang



BAGI
 pemain piano bertaraf antarabangsa kelahiran Malaysia, Claudia Yang, beliau menterjemahkan patriotisme dalam muziknya.
Ibu kepada dua cahaya mata ini percaya terdapat pelbagai cara untuk menunjukkan semangat patriotik seseorang kepada negara.
Ia termasuk mengetahui lagu kebangsaan, menghormati Jalur Gemilang, mematuhi undang-undang negara, menjadi rakyat yang bertanggungjawab dan bekerjasama untuk kebaikan negara.
Beliau kini menetap di Beijing selepas mengahwini ahli perniagaan China, Yang Lingyang dan dikurniakan sepasang anak kembar perempuan, Yang Zhi dan Yang Hui.
Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-56 pada 31 Ogos, pemain piano yang menempa nama di persada antarabangsa ini, tidak pernah lupa sambutan Hari Kebangsaan.
"Selamat Hari Merdeka, saya mahu mengucapkan tanah air saya, selamat menyambut ulang tahun ke-56, dan saya sangat berbangga menjadi rakyat Malaysia.
"Walaupun saya tinggal di luar negara, jiwa saya masih untuk negara. Saya sangat berharap untuk pulang mengembangkan karier saya dan memberi sumbangan (kepada negara).
"Saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang melihat persembahan saya dan saya juga berharap kejayaan saya ini merupakan rahmat kepada negara," katanya kepada media Malaysia selepas persembahan resital pianonya sempena ulang tahun ke-39 penubuhan Hubungan Diplomatik Malaysia-China di Beijing, baru-baru ini.
Walaupun terkenal di luar negara, Yang, 39, lebih berbangga menjadi warga Malaysia.
"Saya masih memiliki pasport Malaysia dan kad pengenalan, dan saya tidak pernah menyesal lahir di Malaysia," katanya dengan bangga.
Semasa persembahan itu, Yang memainkan lagu 'Lagenda' oleh ratu jazz negara Sheila Majid selain mengetengahkan genre klasikal karya L.V. Beethoven, F. Chopin dan S. Rachmaninoff.
Dilahirkan di Muar, Johor beliau mempelajari piano sejak berusia lima tahun.
Pada usia 17 tahun, Yang meneruskan pengajian di Vienna, Austria, untuk mengejar impiannya bergelar pemain piano antarabangsa, dan berjaya memperoleh pemain piano bersama terbaik pada 1997.
Pada tahun yang sama, Yang dijemput oleh duta China dan Malaysia membuat persembahan diplomatik resital pertamanya di Obudai Tarsaskor, di Budapest.
Yang juga dijemput membuat persembahan sempena lawatan negara Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi ke China pada 2004.
Beliau juga mendapat jolokan sebagai 'The Global Chinese of the Year 1999' oleh majalah terkemuka China, 'China Voice' di New York.
Sementara itu, pengerusi Beijing Winland Real Esatte Co Ltd, Adam Yu Chikeung berkata Yang merupakan 'hadiah' hubungan persahabatan Malaysia-China yang telah lama terjalin. - BERNAMA
0 Komen untuk "Pemain piano Malaysia bertaraf antarabangsa, Claudia Yang"