BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

Bale ke Real dengan rekod perpindahan paling mahal dunia



LONDON - Tottenham Hotspur akhirnya bersetuju melepaskan Gareth Bale kepada Real Madrid dengan perpindahan rekod dunia bernilai 86 juta pound (RM442.32 juta), dan pengumuman rasmi akan dilakukan awal hari ini.

Tiada pertukaran pemain dilakukan untuk melengkapkan perjanjian tersebut, sebaliknya ia hanya melibatkan Bale, dan Real telah membayar wang secara tunai kepada Spurs seperti yang diminta oleh kelab London itu.

Sebelum ini, terdapat ura-ura Real akan menyerahkan penyerang mereka, Alvaro Morato selain bek kiri, Fabio Coentrao kepada Tottenham sebagai sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan Bale.

Bale kini menginap di sebuah vila di Malaga, yang dipercayai milik ejennya, David Manasseh, yang bekerja untuk Stellar Group. Pemain berusia 24 tahun itu terbang ke Sepanyol kelmarin menaiki jet peribadi dan semalam, dia seharian menunggu keputusan rundingan yang berlangsung di antara wakilnya, Real serta Tottenham.

Dia akan berlepas ke Madrid untuk menjalani ujian kesihatan sebelum menandatangani kontrak enam tahun, yang dipercayai bernilai 8.5 juta pound (RM43.68 juta) setahun, iaitu jumlah sebelum cukai.

Pemain antarabangsa Wales itu kemudian akan diperkenalkan secara rasmi kepada penyokong Real di Stadium Santiago Bernabeu hari ini dan dijangka disambut oleh puluhan ribu peminat.

Real akan menentang Granada malam ini dan menerima kunjungan Athletic Bilbao di tempat sendiri, Ahad ini, di mana Bale dijangka membuat kemunculan pertama.

Yuran perpindahan Bale mengatasi rekod dunia yang sebelum ini dipegang oleh Cristiano Ronaldo, iaitu 80 juta pound (RM411.12 juta) ketika dibeli oleh Real daripada Manchester United pada 2009.

Presiden Real Madrid, Florentino Perez sebelum ini mengatakan bahawa 86 juta pound adalah jumlah yang sangat besar untuk Bale tetapi Spurs sedar gergasi bola sepak Sepanyol itu amat terdesak untuk mendapatkan pemain tersebut dan berada di bawah tekanan hebat.

Real sudahpun menyediakan jersi No. 11 untuk Bale ketika pemain itu belum lagi menjadi milik, malah kesemua jersi tersebut sudah mula dijual di kedai milik kelab.

Spurs juga dikatakan lega kerana perjanjian sudah dicapai lebih awal sebelum pasaran perpindahan pemain ditutup pada 2 September ini.

Mereka sebelum ini menangguhkan penjualan Bale sehingga berjaya mendapat pengganti yang sesuai untuk pemain tersebut.

Selepas gagal mendapatkan pemain tengah Brazil, Willian yang dirampas pada saat akhir oleh Chelsea dengan bayaran 30 juta pound (RM154.17 juta), Spurs semakin hampir menandatangani pemain sayap antarabangsa Argentina, Erik Lamela dari Roma menerusi 26 juta pound (RM133.61 juta). - AGENSI

Sumber: Utusan
0 Komen untuk "Bale ke Real dengan rekod perpindahan paling mahal dunia"