KOTA BHARU - Biarpun berjaya mengutip tiga mata penuh dengan menumpaskan Terengganu 2-0 dalam aksi kedua Piala Malaysia kelmarin, namun pengendali Kelantan, Bojan Hodak tetap kecewa kerana ketumpulan jentera serangan menyebabkan The Red Warriors gagal berpesta gol.
Tegas Hodak, jentera serangannya gagal menyudahkan banyak peluang untuk menjaringkan gol pada perlawanan tersebut dan beliau memandang serius situasi itu menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan, esok.
"Saya harap masalah ketumpulan jentera serangan yang dialami Kelantan dapat diperbaiki dengan segera kerana saingan akan menjadi lebih sengit selepas ini.
"Namun begitu, saya percaya masalah ini dapat pulih tidak lama lagi kerana Dickson Nwakaeme semakin mendapat rentak sebenar dengan menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan.
"Anda boleh lihat bagaimana dia berusaha keras dan berjaya membentuk gandingan mantap bersama Mohd. Nor Farhan Mohamad, Indra Putra Mahyuddin dan Piya (Mohd. Badhri Radzi) pada perlawanan tersebut," katanya semalam.
Pada perlawanan kelmarin, Kelantan meledak gol pertama pada minit ke-10 apabila Nwakaeme yang tidak dikawal melonjak tinggi untuk menanduk bola hasil lambungan ketua pasukan Mohd. Badhri.
Pemain gantian, Zairol Anuar Zailani menambah derita Skuad Peteh dengan menyumbat gol kedua menerusi sepakan percuma terus dari jarak 25 meter.
Seandainya, ketumpulan jentera serangan tidak menghantui The Red Warriors berkemungkinan besar, juara bertahan itu mampu berpesta gol dalam perlawanan tersebut selepas melancarkan serangan bertali arus ke kubu pelawat.
Sumber: Utusan
0 Komen untuk "Piala Malaysia 2013: Kelantan menang 2-0 ke atas Terengganu"