BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

Masjid Muhammadiah dibina berasakan senibina dan budaya Cina



MASJID Muhammadiah merupakan masjid pertama di negeri Perak yang dibina sepenuhnya berkonsepkan seni bina dan budaya Cina selain mempunyai persekitaran yang unik dan indah, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
"Pembinaan Masjid Muhammadiah dengan kos RM4 juta itu merupakan mercu tanda kepada rakyat di Perak yang mana masyarakat Islam di sini terdiri daripada pelbagai kaum.
"Masjid yang menjadi tarikan pelancong itu juga dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara," kata Zambry ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di masjid itu di Taman Tasek Jaya, Ipoh, baru-baru ini. 

Pada majlis itu Zambry turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk penambahbaikan masjid berkenaan.
Majlis Bandaraya Ipoh juga diarah membina landskap untuk memperindahkan persekitaran masjid itu.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Cina Muslim Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah berkata fasa pertama masjid yang akan siap sepenuhnya September ini mempunyai ruang besar yang boleh diguna untuk majlis ceramah, forum dan aktiviti budaya.

"Fasa kedua dengan kos RM3 juta melibatkan pembinaan pusat dakwah, pendidikan, dewan serbaguna dan perpustakaan. Pembinaannya dijangka bermula awal tahun depan," katanya.
Dewan solat wanita di bahagian atas boleh menempatkan 200 jemaah manakala ruang solat di bahagian bawah mampu memuatkan 800 orang. - BERNAMA
0 Komen untuk "Masjid Muhammadiah dibina berasakan senibina dan budaya Cina"