PETALING JAYA - Secara realistiknya kontinjen negara diakui memang tidak boleh meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok tiga teratas Sukan SEA XXVII Myanmar dari 11 hingga 22 Disember ini, kata ketua kontinjen, Datuk Wira Amiruddin Embi.
Katanya, sasaran awal sebanyak 40 hingga 45 pingat emas oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM), baru-baru ini turut sukar untuk meletakkan kontinjen negara ke kedudukan itu namun yang penting ialah sejauh mana persediaan atlet untuk memburu pingat itu di Myanmar sebelum mencapai peningkatan pada Sukan Asia dan Komanwel pula.
"Dari segi sasaran, MOM kata 40 hingga 45 emas, jadi kita memang tidak boleh ke tiga teratas dan perlu bersikap realistik. Namun persatuan sukan juga perlu ada perancangan bagi dua atau tiga tahun dengan Sukan SEA sebagai medan persediaan awalnya untuk mula meningkat," katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menyifatkan Kumpulan B Siri Tujuh Sepasukan Ragbi Asia 2013 yang menemukan skuad negara dengan China dan Korea Selatan, sebagai agak sukar tetapi masih mampu disaingi berdasarkan rekod pencapaian tahun lalu.
"Pasukan kita pernah mengalahkan kedua-duanya di Mumbai, tahun lalu. Kali ini saya lihat pasukan kita lebih bersedia berbanding tahun lalu sejak dikumpulkan dua bulan lalu. Mereka juga ke Perth bagi menentang kelab Australia Barat. Kita juga akan bermain pada Hari Kebangsaan yang pastinya menjadikan pasukan lebih bersemangat.
"Dengan kemasukan empat pemain import dari Fiji, saya yakin pasukan negara mampu mencapai sasaran empat teratas Siri Tujuh Sepasukan Asia ini," katanya pada majlis undian rasmi kejohanan yang turut dihadiri Setiausaha Agung Kesatuan Ragbi Asia, Ross Mitchell di sebuah hotel di Damansara dekat sini, semalam.
Kumpulan A dalam aksi di Stadium Petaling Jaya dari Sabtu hingga Ahad ini pula mengandungi juara bertahan, Hong Kong, Thailand dan Singapura manakala Taiwan, Filipina dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) membentuk Kumpulan C sementara D dibarisi naib juara tahun lalu - Jepun, Sri Lanka dan Kazakhstan.
Sumber: Utusan
0 Komen untuk "Sasaran 3 teratas Sukan Sea 2013 Myanmar tidak realistik"