BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

Tabung TV3 Bersamamu diteruskan untuk bantu golongan miskin



PETALING JAYA:
 Tabung TV3 Bersamamu yang diperkenalkan menerusi program Bersamamu akan diteruskan dalam usaha membantu mereka yang serba kekurangan dan tidak berkemampuan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar berkata, hasil sumbangan masyarakat dan badan korporat untuk tabung itu bukan sahaja mampu mengubah taraf hidup golongan memerlukan malah memberi semangat kepada mereka demi masa depan lebih baik.
"Walaupun sudah lapan tahun bersiaran, Bersamamu terus mendapat perhatian daripada orang ramai untuk membantu mereka yang memerlukan.
"Usaha ini perlu diteruskan supaya lebih banyak golongan yang tidak bernasib baik mendapat bantuan dan mengubah nasib keluarga mereka," katanya.
Ahmad Izham ditemui pada majlis rumah terbuka Bersamamu di Sri Pentas di sini, Isnin.
Turut hadir pada majlis Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Karim dan Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar.
Dalam pada itu, Ahmad Izham berkata, pihaknya terharu dengan sokongan orang ramai dan badan-badan korporat yang telah membantu meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik.
Katanya, hasil sumbangan Tabung TV3 Bersamamu tidak terhad kepada responden-responden program tersebut malah ia turut disalurkan kepada rumah kebajikan, mangsa-mangsa bencana dan mereka yang menghidap penyakit kronik.
"Tabung ini tidak akan diberhentikan selagi masih ada orang yang memerlukan bantuan.
"Sumbangan sekecil satu ringgit daripada setiap individu sudah mampu mengubah kehidupan dan memberi sinar kepada mereka yang daif dan serba kekurangan," katanya.
Sejak diperkenalkan pada 30 Mei 2005, program berbentuk amal itu telah memaparkan lebih daripada 400 kes kemiskinan dan keperitan.
Dalam pada itu majlis rumah terbuka Bersamamu itu turut meraikan empat buah keluarga yang pernah muncul dalam rancangan berkenaan iaitu Rozihan Yahaya dan Edah Jusoh, Sharul Bariah, Muhd Syukor Khalid dan Qistina Huda Hasbullah.
Turut dijemput anak-anak Bersamamu yang melanjutkan pelajaran pada peringkat pengajian tinggi di Lembah Klang dan Seremban serta 40 orang anak-anak yatim dari Rumah Kasih Harmoni, Paras Jaya, Rumah Anak Yatim Miskin Taman Baiduri, Dengkil dan Rumah Tunas Harapan, Kuala Selangor.
Program pada petang itu pihak TV3 turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada setiap rumah anak yatim tersebut.
Majlis petang itu turut diserikan dengan persembahan daripada Shiha, Black dan kumpulan Bocik (Bintang Mencari Bintang).
Musim terbaharu Bersamamu bakal menemui penonton TV3 bermula 5 September 2013, setiap hari Khamis pukul 9.30 malam.
Sumber: mstar Online
0 Komen untuk "Tabung TV3 Bersamamu diteruskan untuk bantu golongan miskin"