BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

United tingkatkan bidaan ke atas Mesut Ozil kepada £30m



LONDON - Manchester United bakal melancarkan bidaan 30 juta pound (RM154.22 juta) untuk mendapatkan bintang tengah Jerman, Mesut Ozil daripada Real Madrid.

Difahamkan, Ozil telah memilih United sebagai pasukan yang akan menjadi destinasi barunya andai dia menerima tawaran pada pasaran perpindahan.

Real sebelum ini mengumumkan bahawa Ozil boleh dibeli oleh mana-mana pasukan dan pengurus United, David Moyes mahu memastikan bintang Jerman itu berpindah ke Old Trafford.

Moyes beralih kepada Ozil, 24, selepas gagal mendapatkan bintang tengah Sepanyol, Cesc Fabregas daripada Barcelona. Pengurus kelahiran Scotland itu mahu menambah kreativiti di bahagian tengah sebelum pasaran pemain ditutup bulan depan.

Dia percaya, Ozil adalah pemain yang sesuai untuk membantu bahagian tengah pasukan lebih kreatif dalam mencipta gerakan, sekali gus membantu mereka mempertahankan kejuaraan Liga Perdana, selain mencari kegemilangan di pentas Eropah.

Ozil sedar, kedudukannya dalam kesebelasan utama Real tidak lagi penting sebaik saja Gareth Bale dibawa masuk menerusi perpindahan rekod dunia dari Tottenham.

Justeru, dia amat terdesak untuk mencari kelab baharu bagi mengukuhkan kedudukannya dalam skuad kebangsaan Jerman yang akan menghadapi Piala Dunia tahun depan, dan Old Trafford dilihat sebagai destinasi yang sesuai.

Moyes pula mahu membuktikan bahawa United masih mampu menarik nama-nama besar biarpun selepas ketiadaan bekas pengurus, Alex Ferguson.

Real sebelum ini menganggarkan nilai Ozil menghampiri 40 juta pound (RM205.63 juta), namun kerana terdesak untuk melepaskan pemain Jerman itu bagi membawa masuk Bale, maka harganya mungkin menjadi lebih rendah.

Moyes juga menegaskan, biarpun membawa masuk Ozil menjadi keutamaan pasukan ketika ini, namun mereka juga belum berputus asa untuk mendapatkan dua pemain Everton, Leighton Baines dan Marouane Fellaini, malah sedia meningkatkan tawaran selepas bidaan sebelum ini, 28 juta pound (RM143.94 juta) telah ditolak.

"Saya yang membawa masuk kebanyakan pemain di Everton, jadi saya tahu banyak tentang mereka. Jika kami mahu mengemukakan tawaran baharu, maka kami akan melakukannya secara senyap," kata Moyes. - AGENSI

Sumber: Utusan
0 Komen untuk "United tingkatkan bidaan ke atas Mesut Ozil kepada £30m"