BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

Moyes naikkan bidaan ke atas Fellaini dan Baines



ENGLAND - Manchester United bakal menaikkan bidaan kepada 36 juta pound (RM186 juta) bagi mendapatkan pemain Everton, Marouane Fellaini dan Leighton Baines.

Ia adalah langkah susulan United selepas Everton menolak bidaan awal 28 juta pound (RM144 juta) bagi mendapatkan dua pemain tersebut.

Sebelum ini pengerusi skuad Toffees, Bill Kenwright berang dengan sikap United yang mendesak Everton agar menjual aset utama di Goodison Park itu selain menyifatkan Red Devils sebagai biadap.

United berharap Everton mempertimbangkan tawaran baharu itu yang menyaksikan penambahan 8 juta pound (RM41.2 juta) berbanding jumlah bidaan pertama.

Pengurus United, David Moyes yakin mampu membawa dua pemain itu ke Old Trafford sebelum tempoh perpindahan ditutup.

"United tidak akan berputus asa dengan bidaan ini dan akan membida buat kali kedua dengan jumlah yang lebih tinggi.

"Kelab juga amat yakin semua ini akan selesai dengan baik.

"Dua pemain tersebut menjadi sasaran kami untuk memperkukuhkan pasukan ini.

"Everton ketika ini tidak mahu menjual pemain mereka itu namun apabila tiba masanya, mereka pasti menjualnya," kata Moyes.

Tawaran terbaharu United untuk dua pemain itu ialah 20 juta pound (RM103 juta) bagi mendapatkan Fellaini dan 16 juta pound (RM82.4 juta) untuk Baines. - AGENSI

Sumber: Utusan
0 Komen untuk "Moyes naikkan bidaan ke atas Fellaini dan Baines"