BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

Taman wanita Bale bakal jadi ancaman kekasih C.Ronaldo



STATUS Cristiano Ronaldo sebagai pemain termahal dunia bakal terhakis jika Gareth Bale berpindah ke Real Madrid, malah kedudukannya sebagai penerima gaji tertinggi di Santiago Bernabeu juga dijangka terhapus sedikit demi sedikit.

Namun, Bale, 24, bukanlah ancaman buat Ronaldo, malah ramai yang melihat kehadiran bintang muda Wales berusia 24 tahun itu mampu membentuk kombinasi hebat di antara dua pemain terbaik dunia ini.

Begitupun seandainya perpindahan ke Madrid menjadi kenyataan, sudah tentu Bale tidak akan datang bersendirian kerana bintang sayap Tottenham ini bakal membawa bersama kekasihnya yang cantik, Emma Rhys-Jones.

Di sinilah konflik akan berlaku, bukan sesama pemain tetapi di antara teman wanita pemain. Media Sepanyol menjangkakan persaingan merebut gelaran diva WAGs (Wife and Girlfriends) di Bernabeu akan berlaku.

Rhys-Jones bakal menjadi persona baharu Real Madrid, sekali gus menenggelamkan kekasih Ronaldo yang terkenal iaitu top model, Irina Shayk.

Kejelitaan Shayk memang sukar untuk ditandingi, apatah lagi dia memegang status sebagai supermodel terkenal di Rusia, namun kesederhanaan Rhys-Jones dikatakan mampu menjadi kriteria yang membolehkan dia mengatasi Shayk untuk bergelar persona Bernabeu.

Rhys-Jones bukan sekadar hadir dalam hidup Bale ketika dia sudah berada di puncak kariernya, sebaliknya mereka telah berpacaran sejak masih remaja, malah kedua-duanya adalah teman satu sekolah.

Rhys-Jones juga memainkan peranan yang besar dalam kehidupan Bale, sehingga membolehkan dia berada di kedudukannya sekarang.

Gadis manis berusia 24 tahun ini dianggap teman wanita yang sempurna buat Bale. Selain cantik, kesederhanaan Rhys-Jones turut menjadi daya tarikan utamanya. Berbeza dengan kebanyakan WAGs, dia terkenal sebagai seorang yang amat tidak menyukai dunia glamor serta kehidupan malam.

Kehidupan Rhys-Jones jauh berbeza dengan Shayk yang sememangnya dikelilingi oleh dunia glamor, selain terkenal dengan hobi membeli belah serta suka berlibur.

Kehidupan model kelahiran Rusia itu juga sentiasa menjadi tumpuan media. Bale sendiri mempunyai gaya hidup yang berbeza dengan Ronaldo dan kebanyakan pemain-pemain bola sepak terkenal yang lain.

Dibesarkan dalam keluarga yang menitik beratkan nilai kekeluargaan, dia tidak suka berfoya-foya di kelab-kelab malam, malah jauh sekali dikaitkan dengan gosip liar atau skandal.

Berusia 24 tahun, Bale dikatakan bakal memecah rekod perpindahan dunia jika menyertai Real menerusi bayaran 93 juta pound (RM478.08 juta), namun semua itu tidak merubah dirinya.

Padanya, selain karier, keutamaan tetap satu iaitu keluarga, teman wanita serta anak mereka, Alba Violet Bale yang dilahirkan di University Hospital of Wales di Cardiff pada Oktober, 2012. - AGENSI

Sumber: Utusan
0 Komen untuk "Taman wanita Bale bakal jadi ancaman kekasih C.Ronaldo"