KUALA LUMPUR - Pelumba Moto3, Zulfahmi Khairuddin mengakui masih kurang serasi dengan motosikalnya sepanjang minggu ini pada Grand Prix Republik Czech yang berakhir kelmarin.
Bagaimanapun, pelumba Red Bull KTM Ajo itu menunjukkan peningkatan pada hari perlumbaan apabila bermula dari petak ke-24 tetapi melintasi garisan penamat di tempat ke-15 untuk meraih satu mata.
"Sepanjang hujung minggu ini saya tidak berjaya mencari keserasian dengan jentera saya tetapi pada hari perlumbaan semuanya berjalan lancar.
"Kecuali di pusingan pertama saya di tempat ke-16 dan pusingan berikutnya ramai pelumba memintas saya," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Jelasnya, dia menghadapi beberapa masalah ketika di selekoh, terutama sekali di selekoh terakhir.
"Akhir sekali saya berjaya meraih tempat ke-15 dan meraih satu mata. Secara keseluruhan saya menganggap GP ini sangat sukar, jadi kita boleh berasa sedikit gembira dengan pungutan mata selepas apa yang berlaku sepanjang tiga hari sebelum ini.
"Di Silverstone (GP Britain) tidak akan ada alasan lagi, kami harus lebih pantas. Pasukan ini sedang bekerja keras untuk memperkemaskan jentera tetapi tahun ini saya belum mendapat keserasian. Saya harus bekerja keras juga untuk mempertingkatkan corak tunggangan saya," kata pelumba kelahiran Banting itu.
Perlumbaan kelmarin menyaksikan rakan sepasukan Zulfahmi, Luis Salom muncul juara, mengenepikan Maverick Vinales dari Team Calvo di tempat kedua manakala Jonas Folger (Mapfre Aspar Team Moto3) di tempat ketiga.
Seorang lagi pelumba Red Bull KTM Ajo, Arthur Sissis menduduki tempat ke-14 membolehkannya meraih dua mata. Kedudukan pelumba keseluruhan menyaksikan Salom masih di tangga teratas dengan 208 mata, manakala Sissis kesembilan (51 mata) diikuti Zulfahmi ke-10 (50 mata).
Sumber: Utusan
0 Komen untuk "Moto3 2013: Kurang serasi punca prestasi buruk Zulfahmi"