BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

Teong Kim tidak berminat layan Peter Butler



KUALA LUMPUR - Selepas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menempelak Peter Butler kelmarin, semalam tiba giliran Lim Teong Kim pula memberi pandangannya selepas beliau dikutuk oleh pengendali dari England itu di laman sosial, Twitter baru-baru ini.

Butler mempersoalkan pelantikan Teong Kim sebagai Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara Rabu lalu dan menyatakan bahawa dia tidak mengenali Teong Kim dan menganggap pemilihan tersebut lebih kepada penjimatan kos.

Semalam Teong Kim sendiri memberi komen terhadap isu tersebut dengan menegaskan beliau tidak perlu melayan kritikan bekas jurulatih T-Team, Terengganu dan Kelantan itu.

Menurutnya, beliau lebih berminat untuk melaksanakan tugasnya dengan mencari pemain-pemain muda berbakat untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa berbanding mendengar kritikan jurulatih yang kerap menimbulkan masalah.

"Saya tidak kisah dengan pandangan Butler yang dikatakan menghina saya sebagai jurulatih berpengalaman di peringkat Eropah," kata bekas penolong jurulatih bawah 19 tahun (B-19) Bayern Munich itu.

Jelasnya, beliau agak terkejut dengan kenyataan yang dilemparkan Butler dan tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dan dia juga langsung tidak mengenali Butler.

"Saya tidak mahu mengambil kisah terhadap pandangannya.

"Saya boleh menerima kritikan dan saya tidak memerlukan motivasi daripadanya kerana saya sendiri yang memotivasikan pemain dan jurulatih," katanya kepada media di Kelab Diraja Selangor Bukit Kiara, semalam.

Sebelum ini Butler menerusi laman sosial, Twitter, lantang mempertikaikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang bertindak melantik Teong Kim sebagai Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara.

Kontroversi itu bukan yang pertama dicetuskan oleh Butler, malah dia juga pernah mengkritik skuad Harimau Muda A, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh selain menyelar Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa di laman sosial.

Dalam pada itu, Teong Kim berkata, beliau perlu banyak mengkaji sistem pembangunan yang sedia ada terutama melibatkan pada pendidikan pemain dan jurulatih.

"Saya pernah menyatakan perkara ini kepada Khairy yang mana kita perlu mengutamakan sistem yang tepat khusus kepada pendidikan jurulatih dan pemain.

"Paling mustahak adalah cara kita untuk mengendalikan sistem ini. Tiada ada perbuatan yang sia-sia sekiranya kita membina infrastruktur yang memiliki harga tinggi tetapi tidak tahu cara untuk mengekalkannya," katanya.

Sumber: Utusan
0 Komen untuk "Teong Kim tidak berminat layan Peter Butler"