BERITA HARIAN ONLINE

Berita Online | Hiburan | Sukan - Tempatan & Luar Negara

Gareth Bale menang 2 Anugerah dari PFA musim 2012



LONDON - Pemain Tottenham Hotspur Gareth Bale menerima penghormatan daripada rakan sepasukannya apabila memenangi Anugerah Pemain Terbaik dan Pemain Muda Terbaik Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA), semalam.

Bekas pemain Southampton itu merupakan pemain ketiga yang memenangi kedua-dua anugerah pada musim yang sama dan pemain yang kelima menerima dua hadiah utama.

"Ini merupakan penghormatan terbesar buat saya.

"Tanpa (kerjasama) rakan sepasukan tidak mungkin saya dapat memenangi anugerah ini. Lihat sahaja calon-calon yang disenaraikan, terdapat beberapa pemain yang merupakan nama-nama besar dalam bola sepak." katanya.

"Mereka (pemain Spurs) begitu hebat pada musim ini dan begitu juga pengurus (Andre Villas-Boas). Saya mungkin tidak memperoleh anugerah ini tanpa mereka. Jadi, saya ucapkan terima kasih kepada mereka," kata Bale.

Sementara itu, Pengerusi PFA, Gordon Taylor berkata: "Gareth telah melalui musim yang cemerlang. Impaknya sama seperti yang ditunjukkan pemain Wales, Ryan Giggs."

Bale telah menjaringkan sebanyak 19 gol dalam Liga Perdana musim ini dan menghadapi saingan sengit daripada pemain Liverpool, Luis Suarez serta pemain Manchester United, Robin van Persie.

Suarez yang kini menjalani penggantungan 10 perlawanan selepas menggigit pertahanan Chelsea Branislav Ivanovic minggu lalu, turut terpilih disenaraikan dalam pasukan impian PFA.

Turut terpilih dalam pasukan impian PFA ialah penjaga gol United, David de Gea, pemain tengah Michael Carrick dan dua pemain Chelsea, Eden Hazard dan Juan Mata. - AFP

Sumber: Utusan
0 Komen untuk "Gareth Bale menang 2 Anugerah dari PFA musim 2012"